Kunjungan Muhibah perkukuhkan silaturahim antara komuniti mualaf



Siaran Akhbar dan Foto : Pusat Da'wah Islamiah





PENGKALAN BATU, Khamis, 9 April. - Kira-kira 60 orang dalam kalangan saudara-saudara baharu (mualaf) serta ahli keluarga yang bukan Islam telah menghadiri Kunjungan Muhibah yang diselajurkan dengan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Pusat Da'wah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Bahagian Pengembangan Dakwah (Da'wah Khas) pada malam tadi bertempat di kediaman mualaf milik Awang Arrafi bin Abdullah @ Berapi bin Luwis di Kampung Bebuluh.


Majlis berkenaan diadakan bagi menyemarakkan syiar Islam sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri, yang diraikan sebagai hari kemenangan bagi umat Islam setelah sebulan menunaikan ibadah puasa pada bulan Ramadan, di samping menjadi wadah untuk mengukuhkan hubungan silaturahim antara komuniti mualaf Kampung Bebuluh, penduduk sekitarnya yang terdiri daripada masyarakat Islam, mualaf serta bukan Islam, bersama para pegawai dan kakitangan PDI.


Selain itu, untuk memperkenalkan keindahan dan nilai-nilai murni perayaan Islam kepada masyarakat bukan Islam.


Hadir selaku Ketua Rombongan ialah Pemangku Penolong Pengarah PDI, Pengiran Haji Jufri bin Pengiran Haji Hidup.


Turut hadir, Ketua Bahagian Pembangunan Mualaf, Pengiran Hajah Ida Fariani binti Pengiran Haji Kamaluddin.


Selain sesi ramah mesra, atur cara majlis turut diisi dengan penyampaian hamper dan sagu hati kepada saudara-saudara baharu serta masyarakat bukan Islam di kawasan berkenaan.

Close